Sunday, December 30, 2007

Terhapusnya Singa-singa Tua didalam Umno – Raja Petra

Kita perlukan perubahan kepimpinan, ujar Shahrir Samad, pada masa itu merupakan Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Keadaan menjadi sunyi sepi seketika, satu respon yang memang dijangka kerana pada masa itu, apa saja suara kritikan akan dianggap sebagai penentangan kepada pemerintah . Shahrir membiarkan kenyataan beliau perlahan-lahan digarap oleh penonton yang ada didalam dewan itu sebelum beliau memecahkan suasana dengan kenyataan-kenyataan berikut.

Mahathir perlu berundur, tetapi bukan Anwar yang akan mengambil alih, tambah Shahrir sambil merenung tepat kemuka saya seolah-olah kenyataan tentang Anwar itu ditujukan khas kepada saya, sebagai Pengarah Kempen Bebaskan Anwar (FAC). Juga bukan anda atau saya yang akan mengambil alih, jelas Shahrir lagi untuk menjelaskan kepada semua hadirin bahawa kenyataan beliau mengenai Anwar bukanlah bersifat peribadi tetapi berdasarkan prinsip, walaupun saya sendiri tidak pernah menyimpan impian untuk memerintah negara ini.

Mereka yang perlu mengambil alih untuk memerintah negara ini perlulah dari generasi akan datang, mereka yang berumur dibawah 40 tahun, dakwa Shahrir. Negara ini adalah milik generasi akan datang. Zaman kita sudah berlalu.Kita memerlukan darah muda yang berfikiran segar, jelas Shahrir sekiranya masih ada yang tertaya-tanya mengapa generasi kita sudah berakhir dan mengapa negara ini perlu diserahkan kepada anak-anak kita.

Cuba lihat Singapura.Mereka berjaya kerana generasi tua tidak bergayut kepada kuasa tetapi menyediakan pelapis untuk mengambil alih. Malaysia perlu meniru Singapura, demikian tegas Shahrir mengakhiri kenyataannya yang mungkin akan dianggap fitnah.
Peristiwa ini berlaku enam tahun dulu, dizaman ketika Tun Dr. Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri. Dan adalah tidak wajar pada masa itu membandingkan Malaysia dengan Singapura. Apa yang baik untuk Singapura, mungkin juga baik untuk Malaysia. Tetapi jangan sesekali menyatkannya, tetapi Shahrir bukanlah seorang Pak Turut.

Malah, lebih kuat Mahathir menentang Malaysia dibandingkan dengan Singapura, lebih kuat Shahrir menyatakannya, seolah-olah dia sengaja mencucuk Mahathir supaya latah.
Bukan satu rahsia, musuh yang paling dibenci oleh Shahrir ialah Mahathir dan Anwar jatuh ditempat kedua. Tidak hairan sekiranya dia merasakan tiada tempat untuk Mahathir ataupun Anwar. Tetapi apa yang dikatakannya mempunyai kebenaran, bahawa mereka yang sepatutnya memerintah negara adalah dari generasi akan datang, mereka yang berumur dibawah 40 tahun.

Lebih enam tahun sudah berlalu dan apa yang diperkatakan oleh Shahrir sudah dilupakan. Mahathir sudah tidak lagi menjadi PM tetapi negara ini masih lagi diperintah oleh generasi tua. Generasi muda, mereka yang dibawah 40 tahun, masih belum lagi memegang apa-apa kuasa seperti ramalan Shahrir. Mereka yang memerintah negara masih lagi generasi yang menurut kata Shahrir, perlu berundur. Mungkin benar, mereka belum lagi menerajui negara tetapi mereka sebenarnya memegang kuasa dan merupakan pemain utama dalam menentukan hala tuju negara.

Ramai yang benci kepada PM Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak berupaya memerintah dengan tegas seperti apa yang dilakukan oleh Mahathir. Tetapi, bila Mahathir memerintah negara ini, mereka membencinya kerana alasan yang sama, iaitu memerintah dengan penuh ketegasan. Mereka merasakan Mahathir sepatutnya menurunkan kuasa lebih banyak, bukan melakukan semuanya sendiri sehinggakan membuat keputusan apa pokok yang patut ditanam dan dimana patut ditanam.

Apabila Mahathir mula-mula menjadi Perdana Menteri, beliau membawa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya menaiki bas mengelilingi Kuala Lumpur untuk memberitahu mereka tentang bagaimana lanskap perlu dilakukan. Mahathir memberitahu mereka pokok yang mana perlu ditebang dan dimana perlu ditanam dan kawasan mana yang memerlukan pokok bunga. Apabila Lapangan Terbang Subang diubahsuai, Mahathir sendiri melakukan pengawasan sehinggakan membuat keputusan tentang apa warna kaunter pemeriksaan. Mahathir merupakan jurutera, arkitek, pereka dalaman dan perancang bandar, semuanya sekali. Walaupun mempunyai tugas yang berat, dia membaca setiap laporan sebelum mesyuarat dan tidak ada yang terlepas dari pandangannya.

Kemudian kita mempunyai Abdullah. Dia langsung tidak membaca dan akan mengantuk, walaupun baru membaca setengah muka laporan bersaiz A4. Abdullah mempunyai sifat yang bertentangan dengan Mahathir. Dan sementara Mahathir terlibat dengan semua yang berlaku secara terperinci, Abdullah membiarkan negar diurus secara autopilot. Tidak, negara tidak diperintah oleh generasi tua. Seperti yang dimahukan oleh Shahrir, negara perlu diurus oleh generasi baru, dibawah umur 40 tahun. Impian Shahrir terlaksana. Bezanya, generasi baru, dibawah 40 tahun, tidak memegang tampuk pemerintahan, tetapi nyata merupakan kuasa dibelakang tampuk pemerintahan. Walaupun secara lahirnya seolah-olah generasi tua yang memerintah, hakikatnya, mereka yang berumur dibawah 40 tahunlah yang mengurus dan mentadbir negara dan membolehkan Abdullah melakukan lawatan keluar Negara setiap dua minggu sekali.

Tidak diketahui, bilakah pilihanraya umum akan dibuat. Setengah mengatakan 15 March 2008. Setengah yang lain mengatakan, mungkin lebih awal. Dan ada yang mengatakan, Abdullah akan terus memerintah sehingga tamat tempohnya pada 21 March 2009. Apa pun, satu perkara yang jelas, 60% daripada calun-calun merupakan muka baru. Dan ramai daripadanya adalah dari generasi baru, dibawah 40 tahun. Hari-hari Singa Tua akan berakhir. Mereka seperti Menteri besar Perak, Perlis, Johor dan Pahang, serta Ketua Menteri Melaka, Sabah dan Sarawak terpaksa memberi laluan kepada muka baru yang lebih muda. Ramai ahli-ahli kabinet, terutamanya yang sering menimbulkan masalah, akan digugurkan. Dan perubahan ini juga mungkin berlaku didalam parti-parti komponen BN.

Masalah didalam Umno dan Barisan Nasional ialah mereka dikuasai oleh Singa-Singa tua ini. Walaupun dikenali dengan ketegasannya, Mahathir tidak mampu mengenepikan Singa Tua didalam Umno. Abdullah juga mengalami perkara yang sama ketika mengambil alih dan itulah sebabnya mengapa dia tidak menggugurkan muka-muka lama sebaliknya mengekalkan muka-muka yang dikenali sebagai orang Mahathir. Mahathir tidak berkuasa walaupun dikatakan mentadbir negara ini secara kuku besi. Abdullah, yang ternyata lebih lemah dari Mahathir, sudah pasti tidak mampu menyingkirkan singa-singa tua ini, walaupun itulah yang perlu dilakukan untuk survival politiknya.

Tetapi bukan Abdullah yang menentukan siapa yang akan digugurkan dan muka baru mana yang akan diketengahkan.Tugas ini dilakukan oleh penasihat-penasihat Tingkat 4 yang patuh kepada Khairy Jamaludin. Merek-mereka inilah yang berkuasa dan menentukan halatuju Negara. Antara mereka yang dikenali ialah Zaki Azmi, Omar Ong, Norza Zakaria dan satu pasukan anak muda yang agresif, dan bertekad untuk membuang cara lama dan menerima pakai cara-cara bagaimana Singapura berjaya membangun dari sebuah pulau yang kecil sehingga terkenal didunia.

Zaki dan Omar datang dari keluarga yang boleh dikatakan terkenal.Bapa mereka merpukan nama-nama besar ketika mereka masih lagi belajar berjalan. Malah bos mereka, Khairy, boleh dianggap datang dari keluarga elit kerana bapanya merupakan seorang diplomat. Sebenarnya, Khairy menghabiskan kebanyakan masa remajanya belajar disekolah-sekolah elit antarabangsa dan membesar dikalangan mereka yang teristimewa. Walaubagaimanapun. Norza agak berlainan. Dia datang dari keluarga biasa, anak seorang guru. Dan didalam system feudal dimana anda memerlukan seseorang untuk dikenali. Norza boleh dianggap terkecuali.

Orang-orang Melayu amnya dan Umno khasnya, masih mengamalkan sistem feudal. Kebanyakannya naik melalui ikatan keluarga. Mahathir merupakan satu-satunya yang istimewa kerana datang dari keluarga yang ‘tidak mempunyai apa-apa’ dan itulah sebabnya mengapa beliau disanjung. Didalam sistem dimana anda perlu dilahirkan ataupun berkahwin dengan keluarga yang sesuai, untuk naik keatas bersendirian bukanlah pilihan yang mudah.

Walaubagaimanapun, Mahathir tidaklah sebenarnya istimewa. Siti Hasmah datang dari keluarga yang terkenal seperti keluarga Endon. Oleh itu, walaupun kita cuba mengatakan bapa Mahathir dan Abdullah adalah dikalangan orang biasa, isteri mereka datang dari keluarga orang terkenal. Oleh itu, kedua-dua Mahathir dan Abdullah mempunyai keistimewaan isteri masing-masing untuk memulakan karier mereka. Perkara yang sama juga boleh diperkatakan tentang Khairy yang mampu melonjakkan karier politiknya, kerana berkahwin dengan anak seorang Perdana Menteri.

Khairy dan geng Tingkat 4, semuanya dibawah 40 tahun, mempunyai satu perancangan yang besar untuk negara. Dan mereka tidak akan membiarkan sesiapa pun menghalangnya. Tetapi langka awal ialah menghantar Singa-Singa tua ini kealam persaraan.Dan ini akan dilakukan didalam pilihanraya akan datang dimana Singa-Singa tua akan digugurkan dan mengemukakan muka-muka baru. Dan muka baru ini bukan sekadar baru tetapi mereka yang merupakan anak-anak muda professional dan agresif yang tahu apa yang mereka mahu dan bagaimana mendapatkannya.

Norza, sebagai contoh, merupakan anak seorang guru kampung yang biasa. Tetapi beliau telah meninggalkan kampungnya dan mara kehadapan. Untuk sesetengah orang, mereka boleh meninggalkan kampung tetapi tidak berupaya meninggalkan tabiat kampung. Dan tabiat politik kampong ialah politik feudalisma. Yang muda menurut arahan yang tua dan menganggap yang tua seolah-olah keramat. Walaubagaimanapun, ini bukanlah budaya dan cara hidup geng Tingkat 4 yang memegang kuasa hari ini. Cara hidup mereka ialah persaingan siapa yang lebih handal dan kemampuan menjadi keutamaan. Agak sukar bagi singa-singa tua didalam Umno untuk menerima hakikat ini tetapi suka atau tidak, hari-hari mereka akan berakhir. Mungkin ianya lewat enam tahun mengikut impian Shahrir, tetapi lebih baik daripada tiada apa-apa.

Ya, Malaysia akan mengalami perubahan. Mereka-mereka seperti Shahidan, Anuar, Tajol, Adnan, Rahim, Musa, tengku adnan dan sisa-sia peninggalan zaman Mahathir akan pergi seperti Megat Junid, Sanusi dan Khalil yang telah direhatkan tidak lama dulu. Malah mereka seperti Tengku razaleig dan Rais yatim yang dilihat mempunyai sokongan politik, akan dihantar kealam persaraan. Tidak lama lagi, Malaysia akan dipimpin oleh mereka memperoleh kuasa dengan usaha mereka sendiri, bukan menunggu sehingga orang lain bersara ataupun menunggu pertolongan ghaib.

Mereka ini tahu makan kehidupan sebenar. Mereka tahu apa yang mereka mahukan dari kehidupan ini. Dan mereka tidak takut untuk merampas apa yang mereka mahu tanpa menunggu untuk dihidangkan seperti tradisi-tradisi lalu. Mereka hidup selesa, makan yang enak-enak, pakaian berjenama dan mereka tahu kuasa wang dan apa yang boleh dilakukan oleh wang. Mereka juga tahu bahawa hanya kuasa yang mampu melaksanakan segala impian.

Anak-anak muda ini mempunyai perancangan untuk negara ini. Mereka tahu apa yang patut dilakukan. Dan mereka tahu, perubahan luaran tidak mencukupi, dan dan mereka perlu melakukan perubahan sikap. Dan didalam perubahan sikap ini, cara lama perlu dibuang. Dan didalam perubahan sikap ini, Kuda Tua perlu disingkir. Secara tidak langsung, dari timbunan abu kuda-kuda tua ini, akan lahir Harimau-harimau garang, dikalangan geng Tingkat 4. Anak-anak muda yang memegang tampuk pemerintahan yang begitu gopoh dan tidak mempunyai kesabaran terhadap cara lama ataupun menurut perintah orang-orang tua yang sentiasa mengawal padang mereka dari dicerobohi dalam usaha untuk mengekang keruntuhan empayar Singa-singa Tua yang tidak lagi mempunyai tempat didalam dunia global tanpa sempadan ini.

(artikel ini adalah terjemahan daripada artikel asal "The extinction of Umno Warlords and the Little Napoleons" karya Raja Petra Kamarudin. Sekiranya berlaku kekeliruan, sila rujuk keartikel asal disini...)

Balik kemuka depan...

No comments: